Monday 18 February 2019

BANGSA JOHOR PERLU JADIKAN SINGAPURA SEBAGAI IKTIBAR

Bangsa Johor itu bukan lah direka kerana keunggulan pasukan bolasepak JDT. Tetapi Bangsa Johor itu telah lama wujud sebelum merdeka lagi. Ianya telah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor (UTKJ). Wujudnya juga sebelum tertubuhnya perlembagaan persekutuan.

Orang Johor ini entak sedegam, langkah sepijak, seia sekata, semuafakat. Muafakat Johor seiring dengan Bangsa Johor mencerminkan bahawa rakyat Johor ini sentiasa bersatu menyerlahkan daya saing Johor di Malaysia dan antarabangsa.

Maka, kepimpinan dan rakyat Johor itu sendiri sedar bahawa rasa kekitaan Johor itu adalah sebahagian daripada warna Jalur Gemilang. Manakala Malaysia adalah tanah air yang Bangsa Johor perlu pertahankan kedaulatannya.

Johor adalah negeri yang pertama dalam segalanya. Ianya diperakui oleh sejarah. Ahmad Fawzi Basri pernah membicarakan panjang lebar melalui tulisannya Johor 1855-1917: pentadbiran dan perkembangannya (1988). Beliau menganggap Johor sebagai "negeri Melayu pertama mempunyai perlembagaan bertulis".

Sebagai negeri yang penuh dengan kemuafakatan rakyatnya dan negeri yang perlu berdepan dengan kemajuan dan arus kemodenan, kita tidak mahu Johor ini terselit dengan orang ketiga yang memusnahkan.

Kita tidak mahu mahkota bunga raya itu gugur. Dipisahkan dari benang sari dan bakal biji satu persatu sehingga tertinggal tangkai. Ketika itu, semangkuk air mata darah pun tidak lagi boleh digunapakai. Segalanya tinggal sisa. Sisa yang tidak mungkin boleh dibangunkan lagi.

Singapura merupakan suri teladan yang baik kepada kita. Bukan kemodenan dan pentadbirannya dicemburui tetapi nasib hidup orang melayu di sana.

Menurut Lili Zubaidah Rahim dalam buku Dilema Singapura : peminggiran politik dan masyarakat melayu (2004), sepanjang tempoh kekecohan penyatuan Singapura ke dalam Malaysia, Lee Kuan Yew (ST, 5 Mei 1965) mencabar kedudukan dan hak istimewa berperlembagaan orang Melayu di Malaysia dengan mengatakan bahawa taraf peribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika dibandingkan dengan orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain.

Menurutnya lagi di dalam halaman yang sama, Lee mengaitkan orang melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain.

Kesimpulan serupa yang meragui kepribumian orang melayu terus dilakukan oleh orang bukan Melayu di Singapura dan sesetengah ahli politik bukan Melayu di Malaysia.
Halimah Yacob mengangkat sumpah sebagai Presiden Melayu Singapura kedua selepas Yusof Ishak. Pelantikan ini tidaklah boleh dibanggakan. Untuk menjamin survival politik parti People's Action Party (PAP), Lee terpaksa Meminda Akta Pilihanraya Presiden yang memperuntukkan melayu bagi menarik semula sokongan minoriti melayu (13%).

Walaupun Halimah Yacob ini dikagumi kerana hidupnya yang sederhana dan tidak bermewah, Ianya tetap tidak dapat lari dari persepsi bahawa pelantikkanya adalah sekadar topeng bagi mengaburi sikap perkauman yang didukungi oleh parti PAP di Singapura.

Rakyat Malaysia terutama Bangsa Johor harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Singapura. Sebagai tapak bermulanya UMNO di sini, Johor harus terus kuat dan kukuh untuk menghadapi musuh dalam selimut.

Nizam Zahri
Diterbitkan Oleh Gerakan Muafakat pada 11 Februari 2018
Diterbitkan Oleh Sarawak Voice pada 13 Februari 2018

MAHATHIR DAN PAKATAN HARAPAN : BOLEHKAH MUSUH LAMA KEMBALI BERSATU?


Saya secara peribadi mengagumi ketokohan Tun Mahathir sebagai seorang negarawan. Malah mempunyai beberapa koleksi buku beliau termasuk Malay Dilema, An illustrated biography Mahathir Mohamad by E.Yu dan Doktor Umum.

Lahir di tahun 80an dan membesar sepenuhnya dibawah pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri. Personaliti dan corak kepimpinannya yang tegas sama ada di dalam bidang ekonomi, sosial mahupun pembangunan dicemburui oleh rakan dan lawan.

Ketegasannya dapat dilihat melalui Operasi Lalang. Dilancarkan pada 7 Oktober tahun 1987. Operasi ini digerakkan oleh PDRM dan Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap sesiapa sahaja yang mengeruhkan suasana politik pada tahun 1987. Hasilnya, seramai 106 ahli politik politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA, termasuk pembatalan dua akhbar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh.

Menurut buku Personalize Politics : The Malaysian State Under Mahathir tulisan In Wong Hwang, Ops Lalang telah menimbulkan ketakutan kepada semua termasuk di kalangan ahli UMNO sendiri. Salah seorang tahanan ISA berkata "ianya bukanlah sekadar berapa banyak angka tahanan ISA, tetapi ketakutan yang Mahathir sendiri cipta...sesiapa sahaja boleh ditahan".

Dari buku yang sama, penulis juga memetik kenyataan Lim Kit Siang, Ketua Pembangkang ketika itu yang turut ditahan ISA, menyimpulkan bahawa "Mahathir menggunakan sentimen perkauman dan membiarkan sentimen itu berlanjutan bagi membenarkan Mahathir mengukuhkan kedudukan politiknya bagi menghadapi saingan dari dalam".

Di bawah ISA, sesiapa sahaja boleh ditangkap ketika beliau masih berkuasa. Ketegasan beliau dalam mengekang pencabar membolehkan pembangkang ketika itu menggelarkan beliau sebagai Mahafiraun, Mahazalim. Antara pemimpin pembangkang yang mengelarkan Mahathir sebagai diktator termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dati Seri Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

Menariknya, selepas menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 8 September 2016 dan kemudian menyertai Pakatan Harapan pada 20 Mac 2017, Tun Mahathir telah melupakan sengketa lama terhadap pimpinan pembangkang. Apabila hati telah kasih, maka hilanglah cacat celanya. Kasih tidak bersekutu dengan bijak.

Penyatuan ini telah mengakibatkan beberapa pejuang reformasi menjadi luluh hatinya. Seorang yang dilabel diktator ketika memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat menjadi sekutu, malah dijadikan calon Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan. Forgive, but never forget.

Bolehkah pemimpin PKR melupakan kekejaman Tun Mahathir terhadap apa yang berlaku pada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Benarkah Tun Mahathir tidak akan melakukan perkara yang sama sekiranya beliau kembali berkuasa?

Ingin saya ingatkan kembali, dengan memetik kenyataan Lim Kit Siang dalam blog peribadinya, limkitsiang.com, pemimpin DAP itu menuduh Tun Mahathir sebagai seorang Machiavellianism (satu terma psikologi yang merujuk kepada trait personaliti seseorang yang terlalu fokus kepada kepentingan peribadi dengan memanipulasi, memperdaya dan mengeskpolitasi untuk mencapai matlamat). Petikan ini juga dicatat di dalam tulisan Barry Wain, Malaysian Marverick : Mahathir Mohamad in Turbulent Times.

Mungkin Lim Kit Siang juga terlupa, dalam blog yang sama, beliau juga menuduh Tun Mahathir sebagai seorang yang mempraktiskan "the art of saying yes while saying no".

Tuduhan ini sebenarnya berasas jika kita mengambil kira berapa banyak pemimpin - pemimpin yang telah dijatuhkan oleh Tun Mahathir. Pertama, Tun Musa Hitam telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri kesan daripada peristiwa hitam memali pada tahun 1985. Kedua, Tun Ghafar Baba yang meletakkan jawatannya akibat didesak oleh pihak yang mendapat restu dari PM ketika itu. Ketiga, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan dengan cara yang paling memilukan, skandal seks luar tabii.

Tun Abdullah Ahmad Badawi juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa. Beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Kelima setelah BN kehilangan 4 negeri pada PRU 2009 bertitik tolak dari sentimen yang diwujudkan oleh Tun Mahathir.

Adakah Pakatan Harapan benar - benar yakin bahawa Tun Mahathir tidak akan mengulangi skrip yang sama setelah beliau dibenarkan mengemudi bersama - sama Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adakah benar dosa - dosa lama Tun Mahathir dapat dimaafkan secara total oleh pemimpin pembangkang.

Saya kira jawapannya pasti ada pada penyokong - penyokong Pakatan Harapan dan Pejuang Reformasi.

Nizam Zahri
Diterbitkan Oleh Gerakan Muafakat pada 5 Mac 2018