Wednesday 30 March 2011

Kepercayaan

Hari ni kita bincangkan fasal isu motivasi. Berangan jadi seperti Dr Fadzilah Kamsah sekejap.


Ramai orang inginkan kejayaan. Tapi kejayaan tu tak semua yang dapat. Maka agaknya berapa ramai orang yang berjaya sama ada kejayaan di dalam perniagaan, kejayaan sebagai pendidik, kejayaan sebagai ahli politik dan kejayaan yang bermacam-macam ini mempunyai satu rahsia atau etika untuk berjaya. Ada satu perkara yang boleh dirumuskan pada mereka-mereka yang berjaya ini ialah, mereka mempunyai kepercayaan.


Kepercayaan yang pertama adalah percaya pada Tuhan. Pada orang Islam dah semestinya itu adalah yang pertama terjadi. Setiap kali kita menerima berita kegagalan, kita kena percaya yang Allah S.W.T mempunyai satu perancangan yang lebih bagus untuk kita. Kita kena percaya, yang gagal ini adalah sementara sebab ada kejayaan yang akan tunggu kita di hujung sana.


Kadang kala kita berdoa bersungguh pada Allah untuk kita beroleh kejayaan. Tetapi kejayaan yang diminta tetap tidak kunjung tiba. Agaknya bagaimana kepercayaan kita? Adakah tetap utuh atau sudah mula menampakkan kegoyahan? Yang sebenarnya kita kena tetap percaya, kerana doa itu datang dalam 3 perkara. Yang pertama, apa yang kita doa/hajat, itulah yang kita akan dapat. Yang kedua, hasil doa itu akan datang dalam bentuk lain yang mana ia mungkin memberi manfaat yang lebih berguna. Di sini kita kena percaya, perancangan Allah itu sememangnya baik untuk hamba-Nya. Yang ketiga doa itu datang pada hari akhirat kelak yang mana memberi kesenangan untuk kita menjalani urusan di sana. Walaupun doa itu datang dalam bentuk yang berbeza, kepercayaan kepada Tuhan sepatutnya tidak akan pernah pudar kerana Tuhan itu mempunyai perancangan yang lebih bagus untuk kehidupan kita.


Kepercayaan yang kedua adalah kepercayaan pada diri sendiri. Kita kena percaya yang diri kita ada potensi untuk berjaya kerana setiap orang ada kelebihan masing-masing. Itu adalah biasa yang kita pernah dengar. Tapi setakat mana orang percaya pada kelebihan kita itu. Setakat mana orang menggunakan kelebihan itu sebagai satu senjata untuk beroleh kejayaan. Manusia kadang-kadang tak pernah ingat kejayaan atau perkara baik yang pernah mereka lakukan. Yang biasa mereka ingat adalah perkara mengarut/merepek yang biasa mereka kenang. Sebab masyarakat sekeliling jarang untuk memuji perkara baik yang kita lakukan. Tetapi masyarakat sekeliling sangat mudah untuk mengutuk mengeji perkara buruk yang pernah kita lakukan. Walaupun begitu, dengan mengingati perkara baik dan kejayaan yang kita pernah lakukan, sebenarnya kita sedang mengingati kelebihan yang kita ada.


Kelebihan yang kita ada itu seharusnya digunakan untuk kita memacu kepada kejayaan. Kita kena percaya pada diri sendiri dan percaya yang kelebihan kita itu sebenar memberi manfaat untuk kita. Kalau kita percaya pada diri sendiri, perasaan putus asa itu tidak seharusnya ada. Ramai orang yang berjaya berpegang pada prinsip ini. Percaya pada diri sendiri.


Kepercayaan yang kedua adalah percaya pada sistem. Kalau kita berniaga kita kena percaya pada sistem yang kita lakukan. Kalau kita belajar kita kena percaya pada sistem yang kita sedang belajar. kalau kita tidak percaya pada sistem, kita akan lebih membuang masa untuk perasaan ragu-ragu, membangkang dan mengeluh sedangkan orang lain yang sedang mengikuti sistem ini telah jauh terkehadapan meninggalkan kita. Percaya pada sistem membuat kita percaya apa yang sedang kita lakukan. Kalau kita sedang belajar, kita percaya sistem membaca, tutorial, peperiksaan akan membantu kita mencapai kejayaan yang sepatutnya.  Sistem yang dimaksudkan di sini adalah kita kena percaya apa yang sedang kita lakukan ini. Yakin dan jangan memberikan perasaan ragu-ragu anda terhadap apa yang anda kerjakan ini.


Dengan ketiga-tiga kepercayaan ini digabungkan di dalam diri, InsyaAllah, kejayaan itu sebenarnya sudah terbentang di depan anda. Cuma masa sahaja untuk anda menggenggam kejayaan itu.



No comments:

Post a Comment